Maut di Pasir Salak J.W.W. Birch

Pada November 1874, Birch dilantik sebagai Residen British yang pertama di Perak. Tugasnya ialah mengutip cukai dan mentadbir Perak.

Birch mentadbir negeri tanpa mengambil tahu peraturan kerajaan negeri yang telah lama diamalkan. Beliau juga tidak berusaha belajar adat resam orang Melayu dan Raja-raja Melayu. Birch mengeluarkan arahan menuntut semua hasil cukai dan pendapatan negeri dikutip pegawai kerajaan. Hukuman akan dikenakan kepada mereka yang mengutip cukai tanpa mengikut peraturan British.

Tindak-tanduk Birch dan kelibatnya tidak menyenangkan orang Melayu. Beliau juga mendapat tentangan daripada Sultan Abdullah, yang pada masa itu merupakan Sultan Perak di bawah pemerintahan British.

Birch terus bertindak agresif dan mentadbir dengan bantuan polis untuk menakutkan orang. Dato Maharaja Lela and Datuk Sagor (Seri Agar), ketua Kampung Gajah membantah arahan daripada Birch dan pegawainya.

Pada 1 November 1875, Birch dan kumpulannya sampai di Pasir Salak. Orang Melayu yang bersenjata ketika itu sudah berkumpul di tepi sungai berhampiran dengan bot Birch dan mengoyakkan semua surat arahan British yang ditampal. Mereka kemudian membaling lembing ke arah Birch dan menghumbankannya ke dalam sungai.

Birch dikatakan dibunuh ketika beliau sedang mandi Birch telah dibunuh dengan kerjasama Dato Maharaja Lela dan rakan-rakannya iaitu Datuk Sagor, Siputum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim, Ngah Jabor dan lain-lain. Beliau dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. Kerani Melayunya, Mat Arshad, turut terbunuh dalam peristiwa tersebut.

Urutan pembunuhan Birch dimulai dengan pembunuhan Mat Arshad. Pak Endut kemudiannya meneriakkan agar yang lain pergi membunuh Birch. Masing-masing melepaskan lembing mereka ke arah bot tempat permandian Birch dimulai oleh Pak Endut lalu diikuti oleh Kulup Ali (Che Ali), Nhgah Jabor dan Panjang Bur. Akibat rejaman lembing tersebut, Birch telah jatuh ke dalam sungai. Beliau kemudian timbul semula di belakang bot tersebut sebelum ditikam dengan lembing oleh Se Tuah dan ditetak sebanyak dua kali di kepala dan tengkoknya oleh Seputum. Selepas pembunuhan tersebut, mayat Birch ditemukan pada jarak 200 ela oleh Dein Patundo anak Raja Dein.[1]